Wednesday, May 25, 2011
SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH
Wednesday, May 18, 2011
NUKILAN TERAKHIR DARI GURU BESAR
STOWELL YANG AKU KENALI
(Nostalgia Hari Terakhir Perkhidmatan Keguruan)
Stowell yang aku kenali,
adalah rimbunan pepohon hijau menyejuk hati,
adalah tetembok batu teguh melingkari seribu janji,
di dadamu anak kecil berlarian mengejar mimpi mencari realiti
antara kehidupan berbaki dan keseronokan yang tiada bertepi,
dan kau adalah syurga buat kami.
Stowell yang aku kenali,
bersamamu kami berlari dalam kesabaran dan ketabahan hati,
sederap langkah pendidik bangsa dan pembantu segala,
atas satu hasrat, satu jiwa dan satu frasa;
1 Stowell, murid didahulukan, pencapaian diutamakan;
kita bulatkan tekad, kita kukuhkan muafakat, kita betulkan niat
menggapai cita ke puncak jaya.
Stowell yang aku kenali,
Kedewasaanku bersamamu
adalah lautan pengalaman yang tidak terbeli,
dalam melunaskan bakti dan mengais rezeki,
kekadang aku terlajak laluan, terbuntu tujuan
kerana aku juga adalah insan yang serba kekurangan.
Stowell yang aku kenali,
kini aku melangkah pergi tanpa menoleh lagi,
meningggalkan semaian berbenih misi berbuah visi,
bersama bahang kehangatan KPI dan tawaran terkini
pastinya ada tangan kan menyambut baton larianku nanti.
Stowell yang aku kenali,
biar apa pun cabaran mendatang,
biar siapa pun menjadi tunjang,
wargamu bersetia bersemangat waja,
mendepani gelombang merentasi masa,
melarikan obor semarak bernyala,
menerangi lorong kehidupan manusia.
Selamat tinggal Stowellku,
Rohmu kan sentiasa hidup dalam jiwaku!
Nukilan Rasa;
ILLYAS BIN ISMAIL, PJM
Guru Besar Cemerlang,
SK Stowell, Bukit Mertajam. Bertarikh : 18 Mei 2011
Tuesday, May 17, 2011
Jasamu Basah Dalam Kenangan
Jasamu Basah Dalam Kenangan
Sempena persaraan En Illyas bin Ismail, Guru Besar SK Stowell
Memanjat usia ke-58mu
Persis kenanganpun bertamu
Kami seperti hilang arah
Walau payah
Walau resah
Lewat desir sepoi-sepoi Mei menjemputmu
Engkau yang pernah merencanakan
Sebuah pertemuan separuh abad lalu
Kini akur dengan hukum karma
Engkau pasrah sebagai guru cemerlang
Dipersada maya ini
Pernah terpatri
Engkau
Cikgu yang pernah
Mengendong berbagai kejayaan
Tidak pernah tidak
Sunyi dari kegagalan
Namun ketabahan dan kecekalanmu
Menawar semua kepayahan
Menitip sebuah kejernihan
Engkau disanjung sebagai guru gemilang
Engkau
Mengenang jasamu
Umpama mendongak mencerap kejora
Bertaburan berkelipan semaya pada
Hingga terlupa pepasiran di gigitan pantai
Merona kalam keramat
Engkaulah satu-satunya guru terbilang
Engkau
Apa harus kulafazkan
Tentang kecemerlangan
Sudah apa padamu
Apa harus kulafazkan
Tentang kegemilangan
Sudah ada padamu
Apa harus kulafazkan
Apa harusku lafazkan lagi
Semuanya sudah ada padamu
Dan aku hampir terlupa
Dalam sepertiga perjalanan usiamu
Engkau akan pergi juga akhirnya
Dari pentas pencak silat ilmu pendidikan
Meninggalkan jejak-jejak harapan
Buat kami patrikan sebuah elegi
Jasamu tetap dikenang
Budimu sohor basah dalam kenangan
Dan
Bersama terjahan bilah-bilah mentari
Membakar hangat membara
Dan di malam bulan yang menjanjikan sinar
Bermunajat di pertiga malam
Dan bersama kepayahan butir-butir bicara
Berelegi sendu di puncak cemara
Kami anyam rantaian tinta
Mengenang jasa
mengenang segalanya
Terpancul doa kudus kami panjatkan
Moga Tuhanmu dan Tuhanku
Merestui pertemuan dan perpisahan ini.
Dan apa harus kulafazkan lagi
Buat seorang guru
Cemerlang, Gemilang dan Terbilang
Jasamu Basah Bersama Kenangan
Ingatan Abadi
Zupri Ismail
18 Mei 2011