STOWELL YANG AKU KENALI
(Nostalgia Hari Terakhir Perkhidmatan Keguruan)
Stowell yang aku kenali,
adalah rimbunan pepohon hijau menyejuk hati,
adalah tetembok batu teguh melingkari seribu janji,
di dadamu anak kecil berlarian mengejar mimpi mencari realiti
antara kehidupan berbaki dan keseronokan yang tiada bertepi,
dan kau adalah syurga buat kami.
bersamamu kami berlari dalam kesabaran dan ketabahan hati,
sederap langkah pendidik bangsa dan pembantu segala,
atas satu hasrat, satu jiwa dan satu frasa;
1 Stowell, murid didahulukan, pencapaian diutamakan;
kita bulatkan tekad, kita kukuhkan muafakat, kita betulkan niat
menggapai cita ke puncak jaya.
Kedewasaanku bersamamu
adalah lautan pengalaman yang tidak terbeli,
dalam melunaskan bakti dan mengais rezeki,
kekadang aku terlajak laluan, terbuntu tujuan
kerana aku juga adalah insan yang serba kekurangan.
kini aku melangkah pergi tanpa menoleh lagi,
meningggalkan semaian berbenih misi berbuah visi,
bersama bahang kehangatan KPI dan tawaran terkini
pastinya ada tangan kan menyambut baton larianku nanti.
biar apa pun cabaran mendatang,
biar siapa pun menjadi tunjang,
wargamu bersetia bersemangat waja,
mendepani gelombang merentasi masa,
melarikan obor semarak bernyala,
menerangi lorong kehidupan manusia.
Selamat tinggal Stowellku,
Rohmu kan sentiasa hidup dalam jiwaku!
Nukilan Rasa;
ILLYAS BIN ISMAIL, PJM
Guru Besar Cemerlang,
SK Stowell, Bukit Mertajam. Bertarikh : 18 Mei 2011