Thursday, June 23, 2011

SUKANTARA 2011

Sukantara telah berlangsung selama 5 hari iaitu pada 17, 20, 21, 22 & 23 Jun 2011. Antara acara yang dipertandingkan bagi murid Tahap 2 adalah 100 meter & 200 meter larian, lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru. Untuk tahap satu pula, acara 75 meter larian untuk tahun 3, 50 meter larian untuk tahun 1 dan 2 serta acara lompat jauh. Acara padang yang telah berakhir adalah lompat jauh, lontar peluru dan lompat tinggi. Berikut adalah pungutan mata yang berjaya dikutip oleh setiap rumah:

RUMAH SUKAN

MATA

HIJAU

292

BIRU

286

KUNING

248

MERAH

238





Wednesday, May 25, 2011

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH

Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah telah berlangsung pada 20 Mei 2011. Pada kali ini sambutan ini telah dirasmikan oleh En. Aziz bin Jaffar, Penolong Kanan Pentadbiran. Tema Hari Guru pada tahun ini adalah GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA amat bersesuaian dengan peranan besar yang dipikul oleh guru dalam pembangunan negara. Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan hari guru pada kali ini.


Wednesday, May 18, 2011

NUKILAN TERAKHIR DARI GURU BESAR



STOWELL YANG AKU KENALI

(Nostalgia Hari Terakhir Perkhidmatan Keguruan)

Stowell yang aku kenali,

adalah rimbunan pepohon hijau menyejuk hati,

adalah tetembok batu teguh melingkari seribu janji,

di dadamu anak kecil berlarian mengejar mimpi mencari realiti

antara kehidupan berbaki dan keseronokan yang tiada bertepi,

dan kau adalah syurga buat kami.


Stowell yang aku kenali,

bersamamu kami berlari dalam kesabaran dan ketabahan hati,

sederap langkah pendidik bangsa dan pembantu segala,

atas satu hasrat, satu jiwa dan satu frasa;

1 Stowell, murid didahulukan, pencapaian diutamakan;

kita bulatkan tekad, kita kukuhkan muafakat, kita betulkan niat

menggapai cita ke puncak jaya.


Stowell yang aku kenali,

Kedewasaanku bersamamu

adalah lautan pengalaman yang tidak terbeli,

dalam melunaskan bakti dan mengais rezeki,

kekadang aku terlajak laluan, terbuntu tujuan

kerana aku juga adalah insan yang serba kekurangan.


Stowell yang aku kenali,

kini aku melangkah pergi tanpa menoleh lagi,

meningggalkan semaian berbenih misi berbuah visi,

bersama bahang kehangatan KPI dan tawaran terkini

pastinya ada tangan kan menyambut baton larianku nanti.


Stowell yang aku kenali,

biar apa pun cabaran mendatang,

biar siapa pun menjadi tunjang,

wargamu bersetia bersemangat waja,

mendepani gelombang merentasi masa,

melarikan obor semarak bernyala,

menerangi lorong kehidupan manusia.


Selamat tinggal Stowellku,

Rohmu kan sentiasa hidup dalam jiwaku!


Nukilan Rasa;

ILLYAS BIN ISMAIL, PJM

Guru Besar Cemerlang,

SK Stowell, Bukit Mertajam. Bertarikh : 18 Mei 2011

Tuesday, May 17, 2011

Jasamu Basah Dalam Kenangan



Jasamu Basah Dalam Kenangan

Sempena persaraan En Illyas bin Ismail, Guru Besar SK Stowell


Memanjat usia ke-58mu

Persis kenanganpun bertamu

Kami seperti hilang arah

Walau payah

Walau resah

Lewat desir sepoi-sepoi Mei menjemputmu

Engkau yang pernah merencanakan

Sebuah pertemuan separuh abad lalu

Kini akur dengan hukum karma

Engkau pasrah sebagai guru cemerlang


Dipersada maya ini

Pernah terpatri

Engkau

Cikgu yang pernah

Mengendong berbagai kejayaan

Tidak pernah tidak

Sunyi dari kegagalan

Namun ketabahan dan kecekalanmu

Menawar semua kepayahan

Menitip sebuah kejernihan

Engkau disanjung sebagai guru gemilang


Engkau

Mengenang jasamu

Umpama mendongak mencerap kejora

Bertaburan berkelipan semaya pada

Hingga terlupa pepasiran di gigitan pantai

Merona kalam keramat

Engkaulah satu-satunya guru terbilang


Engkau

Apa harus kulafazkan

Tentang kecemerlangan

Sudah apa padamu

Apa harus kulafazkan

Tentang kegemilangan

Sudah ada padamu

Apa harus kulafazkan

Apa harusku lafazkan lagi

Semuanya sudah ada padamu


Dan aku hampir terlupa

Dalam sepertiga perjalanan usiamu

Engkau akan pergi juga akhirnya

Dari pentas pencak silat ilmu pendidikan

Meninggalkan jejak-jejak harapan

Buat kami patrikan sebuah elegi

Jasamu tetap dikenang

Budimu sohor basah dalam kenangan


Dan

Bersama terjahan bilah-bilah mentari

Membakar hangat membara

Dan di malam bulan yang menjanjikan sinar

Bermunajat di pertiga malam

Dan bersama kepayahan butir-butir bicara

Berelegi sendu di puncak cemara

Kami anyam rantaian tinta

Mengenang jasa

mengenang segalanya

Terpancul doa kudus kami panjatkan

Moga Tuhanmu dan Tuhanku

Merestui pertemuan dan perpisahan ini.

Dan apa harus kulafazkan lagi

Buat seorang guru

Cemerlang, Gemilang dan Terbilang

Jasamu Basah Bersama Kenangan


Ingatan Abadi

Zupri Ismail

18 Mei 2011

Thursday, April 21, 2011

KEJOHANAN BOLA BALING MSSPP ZON BUKIT MERTAJAM 2011


Kejohanan Bola Baling MSSPP Zon Bukit Mertajam 2011 untuk 12 tahun ke bawah dikelolai oleh SK Stowell sebagai tuan rumah pada kali ini. Sebanyak 15 buah sekolah menghantar wakil untuk kategori lelaki dan 12 buah sekolah untuk kategori perempuan. Kejohanan ini berlangsung selama 3 hari bermula pada 11 hingga 13 April 2011. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada En. Mohd Hasan bin Mohamed, Penolong PPD Tengah Pengurusan Sekolah merangkap Pengerusi MSSPP Zon BM kerana sudi merasmikan kejohanan ini. Tidak lupa juga kepada En. Zupri bin Ismail, Pegawai Perhubungan PPD Tengah merangkap Setiausaha MSSPP Zon Bukit Mertajam kerana sudi bersama-sama dalam menjayakan kejohanan ini. SK Stowell telah berjaya menjadi naib johan pada kejohanan ini. Tahniah diucapkan kepada semua pemain.


Monday, April 4, 2011

MERENTAS DESA 2011





Acara Merentas Desa telah berlangsung pada 1 April 2011 merupakan salah satu acara yang dipertandingkan dalam Sukan Tahunan SK Stowell 2011. Track laluan merentas desa adalah dalam lingkungan sejauh 1.5 km. Murid tahun 3 perlu menamatkan 1 pusingan manakala murid tahun 4, 5 dan 6 perlu menamatkan sebanyak 2 pusingan. Johan bagi murid tahun 4 ialah Mohd. Akmal Haris, tahun 5 Dheevash Roshan dan tahun 6 pula disandang oleh Emir Daniel. Berikut adalah mata yang berjaya dikumpul oleh setiap rumah sukan :


RUMAH SUKAN

MATA

HIJAU

82

BIRU

81

KUNING

52

MERAH

51












Hadiah disampaikan kepada pemenang oleh En. Illyas bin Ismail, Guru Besar Sk Stowell.