Thursday, January 31, 2013

Perayaan Ponggal 2013

Pesta Pongal Masyarakat Hindu kembali. Satu lagi perayaan yang dirayakan oleh masyarakat Hindu ialah pesta pongal.Perayaan Pongal ini adalah untuk mengukuhkan ikatan sesama mereka. Pihak sekolah juga telah bersama-sama menjayakan pesta pongal iaitu pada 25 Januari 2013.





Wednesday, January 30, 2013

Sambutan Maulidur Rasul 1434H / 2013




Sambutan Maulidur Rasul 1434 / 2013



Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1434 Hijrah atau tahun 2013 Masihi yang jatuh pada 12 Rabiulawal 1434 bersamaan 24 Januari 2013 (hari Khamis) ialah seperti berikut:

WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH
(Tema peringkat kebangsaan)

sumber: http://www.islam.gov.my/ (Jakim)

Sehubungan dengan itu, pihak sekolah tidak ketinggalan mengadakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah pada 25 Januari 2013. Antara acara yang mengisi majlis ini ialah Bacaan Yaasin, Peraduan melukis, Perarakan dan Ceramah.



Asal usul sambutan Maulidur Rasul 

Maulidur Rasul tidak pernah disambut oleh Rasulullah SAW walaupun sekali. Begitu juga para sahabat, tidak pernah menyambut hari kelahiran Rasulullah sewaktu hayat Baginda. 

Malah sahabat-sahabat sendiri pada zaman itu tidak pernah menyambut hari kelahiran mereka. Hal ini kerana sambutan itu belum menjadi budaya mereka pada waktu itu.

Pada zaman awal Islam belum ada keperluan untuk mereka menyambut hari kelahiran kerana mereka tidak mahu memikirkan usia mereka. Mereka juga tiada keperluan untuk menyambut hari kelahiran Rasulullah kerana setiap hari mereka boleh bertemu Rasulullah terutama apabila berasa rindu. Mereka ini meskipun tiada berkesempatan untuk bertemu Rasulullah, sekurang-kurangnya selawat akan meniti pada bibir mereka.

Tetapi pada zaman tabi’in, umat Islam sudah berselerakan ke seluruh dunia dan dalam keadaan itu mereka semakin jauh dengan Makkah dan Madinah. Tidak dinafikan, sebahagian mereka lupa untuk mengamalkan Islam lantaran semakin jauh daripada roh ajaran dan perjuangan Rasulullah. Mujurlah ulama masih ada lalu mengambil inisiatif untuk membimbing orang ramai ke jalan benar.

Di celah-celah itu lahirlah sebuah karya yang diberi nama al-Barzanji nukilan Syeikh Jaafar al-Barzanji. Di dalamnya mengandungi kisah Rasulullah SAW semasa kelahiran sehingga wafatnya.

Kemudian kisah itu dibacakan kepada orang ramai yang dipersembahkan dengan cara yang menarik bagi membangkitkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.

Namun untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam jumlah yang lebih ramai maka diadakan majlis itu pada hari kelahiran Rasulullah SAW. Di sinilah bermulanya sambutan Maulidur Rasul dalam sejarah Islam.

Hari itu dipilih bukan semata-mata untuk sambutan hari lahir tetapi satu taktik untuk mengumpul orang bagi memperdengarkan kisah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan. Semoga umat boleh kembali kepada ajaran Rasulullah seperti zaman sahabat dahulu.

Berdasarkan sejarah itu, maka sambutan Maulidur Rasul yang dilaksanakan pada hari ini seharusnya bukan semata-mata untuk meraikan hari kelahiran Rasul. Itu bukanlah matlamat asal sambutan tetapi lebih kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.

Oleh sebab itu, acara yang boleh dihidangkan pada hari itu boleh dipelbagaikan asalkan menjurus kea rah menyedarkan umat Islam kea rah mengingati Rasulullah dan perjuangannya. Kalau dahulunya dibacakan barzanji tentu tidak salah pada hari ini disampaikan ceramah di samping pembacaan sejarah Rasulullah, bernazam, bernasyid, membaca al-Quran dan banyak lagi.

Yang penting semua itu boleh menyedarkan umat Islam kepada mengingati perjuangan Rasulullah. Dengan acara tersebut tidak timbul isu bidaah seperti yang selalu kita dengar dakwaannya pada hari ini kerana semua aktiviti itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan baginda tidak pula melarangnya.

Pada hari ini kita tambahkan lagi aktiviti dengan perarakan sepanduk sambil berselawat dan niatnya juga untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Amalan berarak ini pernah dilakukan para sahabat ketika menyambut ketibaan Rasulullah SAW di Madinah dari Makkah. Ternyata perbuatan sahabat itu tidak dilarang oleh Baginda.

Sempena sambutan itu juga, ditambahkan acara memberi anugerah dan penghargaan kepada orang tertentu. Amalan ini juga dilihat baik dan boleh membawa kepada rasa minat seseorang untuk mencontohi Rasulullah.

Sambutan ini perlu dibezakan dengan sambutan Barat terhadap sambutan hari lahir diri sendiri, sambutan acara potong kek, menyanyi dan menari dan sebagainya dan juga tidak sama dengan sambutan hari lahir bagi orang yang hidup dengan mati.

Sambutan hari lahir orang yang masih hidup sepatutnya untuk mahabbah diri, amalan yang telah dilakukan dan menginsafi diri beberapa hari lagi yang berbaki untuk hidup.

Manakala sambutan hari kelahiran untuk orang yang sudah meninggal dunia adalah untuk mengambil iktibar dan teladan yang baik sebagai motivasi hidup.

Jadi, amalan kita pada hari ini menyambut Maulidur Rasul diharap diterima oleh Allah SWT sebagai ibadah. InsyaAllah. - Ustaz Hj Ahmad Baei Jaafar.

Sunday, December 30, 2012

HARI ORIENTASI MURID TAHUN 1 DAN PRASEKOLAH SESI 2013

Pada 29 Disember 2012, SK Stowell telah mengadakan Hari Orientasi murid Tahun 1 dan Prasekolah sesi 2013 bagi memberi pendedahan murid baru sempena sesi persekolahan 2013 yang akan bermula pada 2 Januari 2013. Pada majlis ini ibu bapa diberi taklimat oleh Guru Besar, En. Rosli bin Hashim di Dewan Terbuka Bobby manakala murid tahun 1 mula masuk ke kelas bersama guru kelas masing-masing.


Sunday, November 18, 2012

UPSR 2012

Keputusan UPSR 2012 yang diumumkan hari ini menunjukkan peningkatan GPS dari 2.13 kepada 1.93. Jumlah calon yang menduduki UPSR pada tahun ini seramai 73 orang. 16 calon cemerlang 5A dan 12 calon mendapat keputusan 4A1B. Tahniah diucapkan kepada murid-murid yang berjaya. Secara keseluruhannya, keputusan UPSR pada tahun ini lebih baik dari tahun lepas berdasarkan peratus kelulusan setiap subjek.Untuk makluman, surat penempatan ke Tingkatan 1 2013 boleh mula didapati mulai 5 Disember 2012.

Tuesday, November 6, 2012

Sambutan Hari Kanak-kanak 2012 SK Stowell

Hari Kanak - kanak  PDF Print Emel
Latar Belakang

Berdasarkan kepada fakta-fakta sedia ada, Sambutan Hari Kanak-Kanak SeDunia yang pertama telah dianjurkan oleh International Union For Child Welfare pada tahun 1953 dan diiktirafkan oleh UNICEF (United Nations Children's Fund) pada tahun 1954 dan hanya pada 20 November 1959 PBB telah mengistiharkan Hari Kanak-Kanak SeDunia dan meminta semua negara merayakannya pada setiap tahun.
Di Malaysia Perayaan Hari Kanak-Kanak SeDunia telah mula disambut pada 8 Oktober 1959 bertempat di Stadium Negara Kuala Lumpur iaitu sebaik sahaja PBB mengistiharkannya sebagai hari untuk persaudaraan sejagat dan kefahaman dikalangan kanak-kanak seluruh dunia.
Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) telah diamanahkan untuk menganjurkan majlis sambutan ini mulai tahun 1960 sehinggalah tahun 1994. Namun begitu tahun 1995 menyaksikan tugas-tugas penganjuran ini telah diambil alih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM).


Objektif Sambutan

Sambuatn Hari Kanak-Kanak SeDunia sebagai satu acara penghormatan dan pengiktirafan oleh pihak kerajaan dan masyarakat kepada generasi kanak-kanak dan acara sambutan ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat keseluruhan akan peranan dan tanggungjawab untuk memelihara hak serta masa depan kanak-kanak di Malaysia.

Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut tiap-tiap tahun pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober


Lagu Tema Hari Kanak-Kanak SeDunia

di dunia ini
kau berikan kami
pengertian, perlindungan
tidak kenal bangsa atau rupa
semua tidak berbeza
dipersada kini
kau teguhkan kini
perpaduan, kedamaian
kami tersenyum, kami gembira
hilang duka dan derita
curahkan belaian mesra
berikan kami pendidikan mulia
ada rasa cinta
sesama insan serata dunia
berilah sinar harapan
bimbinglah kami semua
dunia pasti aman
dengan kasih sayang
Yang Maha Kuasa
restuilah hamba
ketenangan, keyakinan
tabah menjalani perjuangan
dengan penuh keazaman



Sambutan Hari Kanak-kanak 2012 SK Stowell

Sambutan Hari Kanak-kanak peringkat sekolah telah berjaya dianjurkan pada 5 November 2012 dengan meriah. Pelbagai aktiviti dan persembahan murid yang amat menghiburkan bejaya menceriakan lagi sambutan pada kali ini. Program di akhiri dengan penyampaian hadiah dan jamuan makan.

 

Monday, October 8, 2012

HARI KANTIN & KOKURIKULUM 2012


Hari Kantin dan Kokurikulum 2012 menjelma lagi. Pelbagai acara telah dijalankan. Guru-guru turut terlibat dengan membuka gerai jualan. Semua kutipan akan diserahkan kepada pihak sekolah bagi menampung aktiviti dan program akan datang. Pada hari yang sama juga diadakan Program Bacathon dengan kerjasama PIBG SK Stowell. Semua hadiah cabutan bertuah disampaikan pada penghujung program. Berikut adalah sedutan sepanjang aktiviti berlangsung.
















Thursday, September 27, 2012

PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM 2012

Unit Kokurikulum SK Stowell hari ini menganjurkan satu program perkhemahan untuk unit-unit beruniform  seperti Unit Pengakap, KRS dan PBSM.  Seramai 150 orang murid daripada tahun  5 dan 6 yang mengikuti program perkhemahan ini.


Antara objektif diadakan perkhemahan ini adalah:
1. Untuk memupuk semangat kerjasama dan yakin diri dalam diri peserta.
2. Untuk memupuk sikap berdikari dan bertanggung jawab dalam diri peserta.
3. Untuk menjalin hubungan baik sesama rakan dan guru di SK Stowell.


Program ini akan dilaksanakan pada 28-29 September 2012 di sekolah.  Walau pun perancangan awal, murid berkhemah di padang sekolah, namun tidak berjaya direalisasikan kerana faktor cuaca buruk.  Namun begitu, peserta perkhemahan berpeluang memasang dan mendirikan khemah dengan jayanya.


Berikut beberapa rakaman gambar yang berjaya diabadikan sepanjang program ini berlangsung:

Hari Pertama: Jumaat, 28 September 2012